Saturday, 7 September 2013

Kesan melaksanakan hukuman rotan

Dalam usaha membendung masalah disiplin yang semakin merosot dalam kalangan pelajar, terdapat saranan yang mengesyorkan supaya hukuman rotan dikenakan terhadap semua pelajar. Terangkan kesan-kesan yang timbul sekiranya hukuman tersebut dilaksanakan.

           Menurut laporan jawatankuasa kabinet yang mengkaji perlaksanaan dasar pelajaran, hukuman rotan boleh didefinisikan sebagai perihal menghukum dengan menggunakan sebuah rotan bagi kesalahan serius. Kemelut ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar ibarat barah yang menular di dalam badan. Hal ini tentu membimbangkan para ibu bapa yang prihatin akan perkembangan moral dan mental anak-anak mereka. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi membendung masalah ini. Ada yang mengesyorkan supaya hukuman rotan diwujudkan semula. Persoalannya, apakah kesan terhadap pelajar apabila hukuman ini dilaksanakan? Apakah ia mendatang kesan positif atau kesan negatif kepada para pelajar?

           Antara kesan positif yang mungkin timbul ialah hukuman rotan merupakan cara yang efektif untuk menanamkan sikap disiplin di dalam diri para pelajar, lebih-lebih lagi terhadap pelajar yang degil dan melakukan kesalahan berulang-ulang kali dan juga mereka yang melakukan kesalahan serius seperti membuli, menghisap rokok, mencuri dan sebagainya. Oleh itu, dengan mengenakan hukuman rotan, para pelajar ini akan dipupuk dengan sikap disiplin di dalam diri mereka dan mereka tidak akan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah.

            Antara lainnya ialah hukuman rotan adalah langkah pencegahan 'deterrent' yang efektif untuk pelajar-pelajar lain. Hal ini kerana apabila pelajar itu dirotan sambil disaksikan oleh pelajar-pelajar yang lain, mereka yang melihat juga akan merenung dan melakukan muhasabah diri. Oleh itu, dengan adanya keinsafan dalam diri para pelajar, mereka tidak akan melanggar peraturan sekolah dan ini dapat mengurangkan kes disiplin di sekolah bak kata pepatah "pencegahan itu lebih baik dari rawatan".

            Seterusnya, pada masa yang sama, kerja guru di sekolah menjadi lebih mudah jika hukuman keras ini dilaksanakan dengan segera. Pihak guru mengambil masa yang lama untuk memberi kaunseling kepada pelajar yang belum tentu akan berjaya berbanding dengan merotan yang mudah dan pantas. Sesungguhnya, kerja guru menjadi lebih mudah jika hukuman ini dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Tidak ketinggalan juga proses P&P akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

            Antara kesan negatif pula ialah ia akan menyebabkan pelajar-pelajar yang disebat atau dirotan berasa trauma dan fobia. Hal ini kerana, sebelum mereka dirotan, mereka akan berasa takut. Oleh yang demikian, keseimbangan emosi mereka akan tergugat dan mereka akan mengalami gangguan emosi yang dahsyat apabila mereka disebat. Mereka juga mungkin akan kehilangan keyakinan diri dan berasa malu dan segan untuk berinteraksi dengan rakan-rakan mereka selepas mereka disebat di khalayak ramai. Bak kata pepatah "mencontengkan arang di muka sendiri".

            Selain itu, hukuman rotan boleh dianggap hukuman yang tidak berperikemanusiaan. Hal ini kerana hukuman rotan akan menyebabkan kecederaan fizikal kepada pelajar yang dirotan serta mengaibkan pelajar tersebut. Kecederaan yang dialami mereka adalah luka pada bahagian yang dirotan malah mungkin juga pada tulang belakang jikalau hukuman itu tidak dijalankan dengan sempurna dan berhati-hati. Bukan itu sahaja, malah pelajar-pelajar yang disebat akan dipinggirkan atau dipulaukan oleh rakan-rakan mereka kerana takut jikalau diapa-apakan.

             Kesimpulannya, terdapat pro dan kontra kesan daripada hukuman merotan ini kepada para pelajar. Oleh itu, para pelajar mestilah mematuhi peraturan bagi mengelakkan mereka dihukum rotan agar kes disiplin di sekolah dapat dikurangkan serta dapat dibendung.

1 comment: