Menurut
laporan jawatankuasa kabinet yang mengkaji perlaksanaan dasar pelajaran,
hukuman rotan boleh didefinisikan sebagai perihal menghukum dengan menggunakan
sebuah rotan bagi kesalahan serius. Kemelut ini sering dipaparkan di dada-dada
akhbar ibarat barah yang menular di dalam badan. Hal ini tentu membimbangkan
para ibu bapa yang prihatin akan perkembangan moral dan mental anak-anak
mereka. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi membendung masalah ini.
Ada yang mengesyorkan supaya hukuman rotan diwujudkan semula. Persoalannya,
apakah kesan terhadap pelajar apabila hukuman ini dilaksanakan? Apakah ia
mendatang kesan positif atau kesan negatif kepada para pelajar?
Antara kesan positif yang mungkin
timbul ialah hukuman rotan merupakan cara yang efektif untuk menanamkan sikap
disiplin di dalam diri para pelajar, lebih-lebih lagi terhadap pelajar yang degil
dan melakukan kesalahan berulang-ulang kali dan juga mereka yang melakukan
kesalahan serius seperti membuli, menghisap rokok, mencuri dan sebagainya. Oleh
itu, dengan mengenakan hukuman rotan, para pelajar ini akan dipupuk dengan sikap
disiplin di dalam diri mereka dan mereka tidak akan melakukan perbuatan yang
melanggar peraturan sekolah.
Antara lainnya ialah hukuman rotan
adalah langkah pencegahan 'deterrent' yang efektif untuk pelajar-pelajar lain. Hal
ini kerana apabila pelajar itu dirotan sambil disaksikan oleh pelajar-pelajar yang
lain, mereka yang melihat juga akan merenung dan melakukan muhasabah diri.
Oleh itu, dengan adanya keinsafan dalam diri para pelajar, mereka tidak akan
melanggar peraturan sekolah dan ini dapat mengurangkan kes disiplin di sekolah
bak kata pepatah "pencegahan itu lebih baik dari rawatan".
Seterusnya, pada masa yang sama,
kerja guru di sekolah menjadi lebih mudah jika hukuman keras ini dilaksanakan
dengan segera. Pihak guru mengambil masa yang lama untuk memberi kaunseling
kepada pelajar yang belum tentu akan berjaya berbanding dengan merotan
yang mudah dan pantas. Sesungguhnya, kerja guru menjadi lebih mudah jika
hukuman ini dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Tidak ketinggalan juga proses P&P akan
berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
Antara kesan negatif pula ialah ia
akan menyebabkan pelajar-pelajar yang disebat atau dirotan berasa trauma dan fobia.
Hal ini kerana, sebelum mereka dirotan, mereka akan berasa takut. Oleh yang
demikian, keseimbangan emosi mereka akan tergugat dan mereka akan mengalami
gangguan emosi yang dahsyat apabila mereka disebat. Mereka juga mungkin akan
kehilangan keyakinan diri dan berasa malu dan segan untuk berinteraksi dengan
rakan-rakan mereka selepas mereka disebat di khalayak ramai. Bak kata pepatah "mencontengkan arang di muka sendiri".
Selain itu, hukuman rotan boleh
dianggap hukuman yang tidak berperikemanusiaan. Hal ini kerana hukuman rotan
akan menyebabkan kecederaan fizikal kepada pelajar yang dirotan serta mengaibkan
pelajar tersebut. Kecederaan yang dialami mereka adalah luka pada bahagian yang
dirotan malah mungkin juga pada tulang belakang jikalau hukuman itu tidak
dijalankan dengan sempurna dan berhati-hati. Bukan itu sahaja, malah pelajar-pelajar yang disebat akan dipinggirkan atau dipulaukan oleh rakan-rakan
mereka kerana takut jikalau diapa-apakan.
Kesimpulannya, terdapat pro dan
kontra kesan daripada hukuman merotan ini kepada para pelajar. Oleh itu, para
pelajar mestilah mematuhi peraturan bagi mengelakkan mereka dihukum rotan agar
kes disiplin di sekolah dapat dikurangkan serta dapat dibendung.
rotan itu bagus
ReplyDelete